
Walaupun aku terpaksa menunggu lebih dari 2 jam, aku sanggup. Bertemankan beberapa rakan bloggers, aku menghadiri majlis "Sepagi Bersama Tun M" anjuran MUBARAK Negeri Kedah di bangunan Tunku, Alor Setar. Bagai sirih pulang ke gagang, kehadiran Tun amatlah dinantikan. Sedang aku dok ber"keliaran" di antara tingkat 6, 7 dan 8 mencari "seseorang", aku terkerling pada sebuah bilik ditingkat 7. Tun!!! Idola ku berada dibilik tersebut bersama beberapa orang kuat UMNO Kedah. Aku tercegat seketika. Menyedari aku ditempat "orang-orang besar", aku yang "kerdil" ini bergegas ke tingkat 8 mengambil tempat.
Tun hadir di dewan bersama tepukan gemuruh yang menenggelamkan suara MC yang mengumumkan kehadiran tokoh ulung negara itu. Sebagaimana lazimnya, majlis tersebut dimulakan dengan bacaan doa. Disusuli dengan penyampaian puisi yang menceritakan nasib bangsa Melayu kini dan masa akan datang. Puisi itu disampaikan oleh seorang anak muda wakil dari GPMS. Segar dan bertenaga, diakhiri dengan sebak di dada, termasuk aku sendiri pun sebak apabila mengenang nasib bangsa kini dan akan datang. Syabas anak muda!
Setelah itu majlis diteruskan dengan ucapan Presiden MUBARAK Negeri Kedah, Dato' Paduka Abd. Rahman Ibrahim. Beliau sudah pencen. Tapi tidaklah pencen perjuangan! Syabas Dato'. UMNO Kedah sememangnya perlukan pengalaman MUBARAK untuk menyusun strategi merapatkan barisan. Memandangkan Pusat Stragtegi UMNO Kedah bakal dilahirkan, UMNO Kedah rasanya amat memerlukan MUBARAK. MUBARAK menunjukkan reaksi positif untuk terus menabur bakti kepada Islam, anak bangsa dan Negara, tanpa sebarang syarat atau kepentingan. Harap UMNO Kedah pertimbangkan secara positif tawaran MUBARAK ini.
Masa yang ditunggu sudah tiba. Tun bangun menghayun langkah ke podium untuk memberi ucapan. Bermula dengan jenaka sinisnya, Tun merasmikan Mesyuarat Agung MUBARAK yang "telah" diadakan lebih awal pada paginya. Tun melontarkan persoalan pertama tentang kekalahan BN pada PRU12 yang lalu. Katanya "mengapa orang Cina dahulunya memberikan undi mereka kepada BN dan tidak pada PRU12 kali ini?". Bukankah jarak 2004 dan 2008 yang singkat itu boleh mengurangkan majoriti 2/3 BN di Dewan Rakyat dan hilang 5 negeri dan Wilayah Persekutuan? Itu persoalan dibenak aku. Tun menyeru supaya satu "post mortem" dilakukan. Biasanya "bedah siasat" dilakukan kepada "mayat", dan "mayat" itu adalah 5 negeri, Wilayah Persekutuan dan umumnya diseluruh negara. Mayat itu haruslah dibedah secara teliti bagai forensik CSI mencari punca "penyakit" sebenar. Jika mayat itu dibedah dengan sambil lewa, maka hasil bedah siasat juga tidak akan tepat. Bila tak tepat, "ubat" yang akan diberikan juga pastilah tidak akan menyembuhkan penyakit!
Tun juga menyarankan agar tidak sesuka hati menuding jari menyalahkan sesiapa. Seharusnya jari itu dituding kepada diri sendiri. Sebelum ini, ada yang mendakwa kehadiran Tun bakal menyebabkan BN kalah pada mana-mana pilihanraya. Namun, ketika PRK di Kuala Terengganu, tanpa kehadiran Tun pun BN gagal jugak! Itu menafikan secara total dakwaan busuk tersebut. Bahkan, disyaki bahawa kehadiran "seseorang" itulah yang menyebabkan kekalahan BN. "Seseorang" itu bukan sahaja sering di "booo..", malah namanya juga begitu sinonim dengan rasuah! Tun memberikan ingatan keras bahawa UMNO akan berkubur selagi ada amalan-amalan rasuah dan individu-individu yang sama spiesis dengan "seseorang" tersebut. Mahukah ahli-ahli UMNO melihat parti keramat yang memerdekakan Malaysia ini dan sudah banyak menabur jasa demi Islam, anak bangsa dan negara ini dikapankan? Tepuk dada tanya selera!
Sesekali Tun begitu sinis terhadap para Majlis Tertinggi UMNO. Katanya, beliau tahu bagaimana "cara"nya mereka menang bertanding kerusi MT itu. Tun mempersoalkan apabila MT berani mengubah keputusan Lembaga Disiplin UMNO dan memberi tekanan kepada Lembaga Disiplin dengan keputusan mereka. Apa akan berlaku apabila seseorang lebih berkuasa dari "mahkamah UMNO" itu. MT menyeru untuk ketelusan mahkamah, namun apakah mereka juga telus dalam menerima keputusan mahkamah itu? Itu diserahkan kepada MT yang jawab. Bukan tidak ada MT yang tidak hadir di majlis tersebut. MT paling "bongsu" pun adaaaa...
Tun juga sesekali membidas dewa "jaguh mata satu"! Siapa yang didakwa "jaguh mata satu"? Hehehhehhe...pastinya teruk "jaguh" itu dihentam mantan Perdana Menteri kita ni. Tak payah la diulaskan tentang "jaguh" tersebut. Dah selalu dia dihentam. Semua orang tahu bahawa "jaguh" itu berbau busuk!
Tun membawa kami merungkai kemenangan BN pada PRU pada 1999. Ketika itu, modal "mata sikit lebam" yang "dilebih lebamkan sendiri" itu menjadi pertualang. Askar-askar "mata lebam" itu berkeliaran di serata negara memecah belahkan anak bangsa Melayunya sendiri. Demo dan kekacauan berjaya dipatahkan, namun Melayu telah terbahagi 3 ketika itu! Kekuatan Melayu sedikit sebanyak telah menggugat undian PRU 1999. Namun, atas keyakinan bangsa Cinalah, maka BN bangkit dengan memperolehi majoriti 2/3 di Parlimen. Selepas BN dan UMNO stabil dan kuat, barulah UMNO diserahkan kepada Tun Abdullah Badawi. Dan hasilnya pada PRU 2004, BN menang cemerlang dengan menguasai 90% kerusi di Parlimen. Malangnya ada "suara sumbang" yang mengatakan bahawa "itulah kekuatan mencari tokoh yang mencari Al-Ghazali". Mungkin benar, namun mengapa pula pada 2008 BN jatuh merudum? Ke mana perginya "kekuatan pencari Al-Ghazali"? Mengapa pula ditudingkan jari kepada orang lain dan menyalahkan seseorang yang banyak berjasa kepada negara dan menyerahkan UMNO dikala UMNO masih sihat??? Mana satu "Tun" yang salah sebenarnya? Fikirlah sendiri...
Rasuah dalam UMNO akan ditangani. Tun mengatakan bahawa satu usul pindaan perlembagaan UMNO akan dibentangkan. 600,000 undi bakal menentukan siapa Presiden UMNO. Mampukah "perasuah" itu merasuah demi 351,000 undi untuk memenangi kerusi Presiden? Nik Aziz kata, "ambil duit, tapi jangan beri dia undi". Duit tu di"halal"kan Nik Aziz? Hehhehehe...Pastinya si "perasuah" itu bakal berkubur 3 tahun lagi! InsyaAllah.
Tun juga memberi amaran kepada semua ketua-ketua UMNO bahagian dan terutamanya cawangan supaya tidak menyekat mana-mana cerdik pandai Melayu untuk menyertai cawangan mereka. Ketua-ketua cawangan ini takut jawatan mereka itu bertukar tangan? Jika begitu, nyatalah ketua-ketua cawangan itu tidak layak menjadi ketua kerana lebih mementingkan kepentingan diri berbanding kepentingan perjuangan Parti. Berubahlah wahai ketua-ketua cawangan yang dihormati sekelian. Perjuangan Islam, anak bangsa dan negara lebih penting dari kepentingan peribadi. Usahlah disekat professor, doktor PHD, doktor perubatan, engineer, lawyer, mahupun seorang CEO syarikat perniagaan. Ketua haruslah lebih bijak berfikir, matang dan berfikiran terbuka. Jangan takut pada bayang-bayang sendiri. Tak semua mereka mampu menjadi ketua, namun jangan disekat sumbangan mereka. Kalau tidak, mereka akan menyalurkan sumbangan mereka kepada PAS. Siapa yang rugi? Anda mungkin tidak rugi, yang ruginya ialah UMNO yang kehilangan sumbangan tersebut dan UMNO rugi kerana memiliki seorang ketua UMNO bersifat seperti anda! Fikirlah Pak Long oiii...hehhehe..betoi dak?
Akhir kata, Tun telah menyatakan persetujuan beliau untuk aktif kembali di sebarang majlis politik. Itu pun kalau negarawan itu dijemput! Harusnya negarawan ulung ini wajib diberikan tempat khas untuk terus menyumbangkan baktinya kepada Islam, UMNO, Bangsa Melayu dan tanah yang pernah bernama Persekutuan Tanah Melayu! Usahlah Tun dilayan sebagaimana di satu tempoh dahulu...insyaAllah...